Tuesday, October 28, 2008

PENEROKAAN AWAL KAWASAN SIPUTEH, KINTA, PERAK

Meninjau dari sudut maklumat Hj. Suhaimi bin Yahya 67 tahun, berasal dari Kampong Piandang, Siputeh, Perak dan kini menetap di Taman Melawati K.L. telah memberi tahu iaitu asal penerokaan kawasan Siputeh jalan Tronoh Kinta, Kg.Changkat (sekarang tiada) dan Kg. Merbau, Tronoh. Sumber maklumat ini diperolehi melalui bapa saudara beliau Pa’ Ayob bin Abdul Hamid iaitu seorang pesara dari Pejabat Penghulu Tronoh, dan kini masih tinggal di Kg. Piandang berusia menjangkau lebih 80-an. Beliau adalah juga saudara kandung kepada Allahyarham Dato’ Yaakob bin Abdul Hamid dan saudara tuanya Allahyarham Ramli bin Abdul Hamid saorang tokoh pentadbiran negara diawal era kemerdekaan Tanah Melayu.

Dimaklumkan bermula daripada sekumpulan keluarga Supit Solok dari Kampong Pinang Luar, Talu, Sumatera Barat bersama dengan Jalu, Hj.Sulaiman dan keluarga , Mohd. Amin dan Mohd. Angkat bersama keluarga, adalah antara keluarga yang telah datang ke Tanah Melayu kira-kira lewat tahun 1890-an. Apabila sampai di Tanah Melayu mengikut ceritanya perjalanan mereka melalui sungai-sungai sehinggalah mendarat ke Daerah Kinta dan singgah di Kampong Pisang, Pusing iaitu tidak jauh dari perkampongan orang Mendahiling.
Mereka terus mengadap Penghulu Papan, Tengku Shahbuddin yang mana pada ketika itu kawasan Siputeh, Pusing dan Tronoh adalah dibawah jajahan Papan. Penghulu Tengku Shahbuddin telah mengarahkan semua mereka ke kawasan Siputeh yang letaknya kira-kira lapan kilometer arah selatan dari Pekan Papan, Kinta.. Mengikut kisahnya merekalah keluarga-keluarga Orang Talu yang menerokai kawasan Siputeh, Jalan Tronoh, Kampong Changkat dan juga perkampongan dari Balai Polis, Siputeh (sekarang tinggal tapak Balai) hinggalah ke Batu Tiga berhampiran Reyland Estate Jalan ke Parit. Mereka telah mula penghidupan secara bercucuk tanam kopi dan koko, kemudian barulah menumpukan perusahaan berasaskan getah. Bagi kawasan-kawasan rendah pula dijadikan bendang untuk menanam padi.

Susulan kemudian, baru lah datang keluarga Salam melebarkan pembukaan kawasan Kampong Changkat, Siputeh. Seterusnya datang pula keluarga Hj. Abdul Latif dan Hj Abdul Hamid bin Maan ( saya cucu yang tertua beliau) iaitu pada tahun 1907. Mereka tinggal berkeluarga di Siputeh jalan Tronoh dan ada juga yang tinggal di Kampong Merbau, Tronoh. Jaraknya lebih kurang empat km dari Pekan Siputeh.

Ada juga keluarga Talu yang tersasar ke Negeri Pahang dan berpatah balik ke Nagari Talu. Selang kemudian baru lah datang semula untuk mendapatkan keluarga mereka di Siputeh. Mereka ialah kerluarga isteri Hj. Sulaiman bernama Hjh. Aishah dan terus tinggal menetap di pekan Siputeh bersama-sama keluarga nya. Keluarga Hj. Sulaiman terdekat yang masih boleh berhubung sekarang ialah Pa’ Ayop bin Hj.Abdul Hamid (cucu Hj.Sulaiman). Keluarga Salam yang terdekat ialah Dr. Zulkifli bin Abdul Rashid (dahulu Pensyarah di USM. sekarang di Brunei). Seorang lagi saudaranya ialah Pn. Juriah iaitu pernah tinggal di pekan Tanjong Rambutan, Ipoh.

PENGHIJRAHAN KE MATANG JELUTONG, BAGAN SERAI, PERAK

Dua orang bersaudara kandung Hj. Bahauddin bin Sheikh Abdul Majid dan Hj. Musa bin Shiekh Abdul Majid tinggal sekampong di Ulu Yam, Selangor dalam tahun lewat 1890-an. Hj. Bahauddin giat berniaga membeli getah kepingan daripada penduduk-penduduk sekitaran Ulu Yam melalui penggunaan kopon sabagai ganti wang. untuk proses pembelian. Inilah cara yang ditetapkan oleh pihak pemerintah ketika itu. Mungkin ini adalah satu cara mengekalkan nilai wang yang tidak menentu pada ketika itu. Tidak hairanlah jika Hj.Bahauddin banyak memiliki kopon-kop0n getah hasil dari perniagaan beliau membeli getah kepingan.

Pada suatu hari hujan lebat melanda di kampong mereka sehingga berlaku banjir kilat. Tidak semena-mena air telah naik ke rumah Hj. Bahauddin dan banyaklah harta benda di rumah beliau basah terendam termasuklah simpanan kopon-kopon getah beliau. Bagaimanapun, hari keesokan cerah saperti biasa dan beliau telah menjemurkan semua kopon-kopon yang basah untuk dikeringkan dihalaman rumah juga tepi jalan lalu lalang orang ramai penduduk kampong. Rupa-rupanya pendedahan kopun-kopun itu telah membawa padah kepada keluarga beliau .Pada malam itu juga datanglah orang yang tidak diundang ke rumah untuk merompak. Mujurlah Hj.Bahauddin bukan nya calang-calang orang. Beliau dengan mudah dapat mematahkan niat jahat perompak yang menceroboh rumahnya pada malam itu. Dengar cerita perompak itu lari lintang-pungkang menyelamatkan diri.

Peristiwa buruk ini telah membuat Hj.Bahauddin berfikir untuk mencari tempat yang lebih selamat. Lantas itu beliau mengajak saudara kandung nya Hj.Musa mengembara ke utara semenanjung sehingga ke Negeri Kedah. Mereka sampai disuatu perkampongan di utara Kedah. Sewaktu mengambil wuduk di sebuah kolah mereka telah dikejutkan oleh beberapa ekor lintah serentak menuju ke tangan mereka. Ini menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan tempat itu. Mereka berpatah balik menuju ke Perak Utara iaitu di Bangan Serai. Setelah meninjau beberapa tempat akhirnya Hj.Bahauddin telah berkenan membeli beberapa Lot tanah bendang di Kg. Matang Jelutong iaitu kira-kira 3 km. dari pekan Bagan Serai jalan hala ke Bukit Merah.

Setelah puas memperhitungkan pembelian tanah itu, mereka pun kembali semula ke Kampong Ulu Yam. Bagaimanapun, Hj.Bahauddin sudah bertekat untuk membawa semua keluarganya berpindah ke Matang Jelutong, Bagan Serai untuk berkampong disana. Tetapi tidak pula bagi Hj.Musa saudara kandung nya. Beliau terus bersama-sama keluarganya menetap di Kampong Ulu Yam, Selangor.

Kesungguhan hajat dan hasrat Hj.Bahauddin telahpun menjadi nyata. Beliau bersama isterinya Hjh.Halimah bt. Mat Isa telah meninggalkan Kampong Ulu Yam dengan penoh azam untuk berhijrah ke Matang Jelutong, Bagan Serai, Perak. Mereka telah membawa kesemua empat orang anak-anak mereka dimana semuanya puteri belaka. Mereka ialah Sharifah, Jamilah, Lamiah dan Aminah. Dengar nya semua anak-anak mereka telah berumah tangga disana. Hjh.Lamiah bt. Hj.Bahauddin telah berkahwin dengan orang dari Karai, Kuala Kangsar iaitu Hj.Mohd.Jadidi. Mereka telah dikurniakan empat orang anak iaitu Hj.Ghazali Jadidi, Abdullah Jadidi, Baharuddin Jadidi dan Sri Banun bt. Jadidi. Ke empat-empat orang anak mereka ini hanya Abdullah Jadidi yang bertugas sabagai anggota Polis di Kuala Lumpur. Adek beradek yang lain tinggal dan menetap di Kampong Matang Jelutong. Hj.Ghazali Jadidi adalah saorang uztaz yang juga mengajar di sekolah Kebangsaan Matang Jelutong dan telah berkhawin dengan Hjh.Robiah bt. Hj. Abd. Hamid dari Siputeh, Jalan Tronoh. Perak. Mereka telah dikurniakan enam orang anak iaitu Najmul Mokhtar, Amiruddin (meninggal), Mahfuzah, Ahmad Tarmizi, Ahmad Fauzi dan yang bongsu Zarina. Semuanya sudah berusia 40-an, dan masing-masing telah berumah tangga dan masih ramai yang tinggal berkuarga disana. Hj. Baharuddin Jadidi berkahwin dengan Halijah Osman dan dikurniakan enam orang anak. Mereka ialah Zuraidah, Zabidi/ Suraya Mustafa, Ayob, Azizah, Zubaidah dan Bazilah. Keluarga Jadidi yang bongsu Sri Banun telah berkahwin dengan orang tempatan Ramli bin Saat (meninggal 2005) dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Suhai, Shahril dan Rafizah. Bagi Abdullah Jadidi pula telah berkahwin dengan Rafiaah mempunyai dua orang anak iaitu Muzhar Abdullah berkahwin dengan Noraini Abd.Majid dan Mirza Abdullah berkahwin dengan Sri Mersik Dol.

Kisah penghijrahan ini telah disampaikan sendiri kepada saya beberapa tahun sudah oleh Uztaz Hj. Ghazali bin Hj. Mohd..Jadidi, kebetulan beliau adalah bapa saudara saya melalui isteri beliau Hjh. Robiaah ( meninggal pada 8.1.2002 ) iaitu adik kandung kepada ibu saya Hjh. Maiyah bt. Hj. Abdul Hamid.

Kampong Matang Jelutong, Bagan Serai, Perak adalah satu-satunya kampong orang Talu yang terpencil di Bagan Serai, tetapi ia masih kekal hampir 100 tahun sahingga ke hari ini. Semuga anak cucu keturunan Hj.Bahauddin bin Sheikh Abdul Majid diharap akan dapat berhubung dengan pihak keluarga Perhimpunan Masyarakat Talu Malaysia.

Dengan makluman ini diharap akan manfaatkan kita semua, lebih-lebih lagi bagi yang berminat mengikuti perkembangan dan latar belakang generasi kita dari masa kesemasa.

Sunday, October 26, 2008

Suasana pulang basamo ke Talu

Cadangan Pulang Basamo telah dibangkitkan di Majlis Perhimpunan Orang Talu Pertama di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur Malaysia pada 27 Mei, 2006 (Sabtu).

Antara tujuan utama nya ialah:1 Meninjau suasana kampung halaman asal nenek moyang di Talu/Sinurut.
2 Mengenali secara dekat budaya sosial dan ekonomi masyarakat tempatan.
3 Menemui ketua-ketua adat, wali-wali Nagari, Tengku Nan Sati Sinurut,Tuanku Bosa Talu dan masyrakat tempatan.
4 Mengesan saudara mara yang masih ada.
5 Menjalin hubungan persaudaraan masyarakat Talu antara kedua-dua buahnegara.

http://myrangtalu.com/file/Pulang%20ke%20talu.pdf

DARI SIANOK KE KAMPONG PIANDANG

Sianok adalah sabuah kampong tertua terletak dalam Nagari Sinurut di Sumatra Barat. Lokasinya berhampiran dengan pekan Talu yang sering juga disebut sebagai Pasar Usang Talu. Nagari Sinurut adalah bersempadan dengan Nagari Talu. Masyarakatnya atau penduduk kedua-dua buah nagari ini terdiri daripada kaum orang Talu yang mengamalkan budaya dan bahasa yang sama serta mempunyai hubungan kekeluargaan yang rapat antara satu sama yang lain. Setiap nagari ini mempunyai pemerintahan adat dibawah Tuanku (Raja) masing-masing. Di Nagari Sinurut pemerintahan adatnya adalah dibawah Tuanku Nan Sati dan di Nagari Talu pula dibawah Tuanku Bosa Talu. Kedua-dua Tuanku ini mewarisi keturunan kerabat dari Istana Pagar Ruyung, Batu Sangkar, Sumatra Barat. Satu lagi rumpun kerabat ialah di Istana Sri Menanti, Negeri Sembilan. Beberapa buah nagari lagi juga mempunyai pertalian kerabat di nagari-nagari Sumatra Barat. Bagaimanapun, rakyat bagi kedua-dua buah nagari ini tetap memegang amalan budaya dan bahasa yang sama serta sentiasa tinggal dalam suasana rukun aman dan damai. Kesepakatan penduduk orang Talu tergambar dalam seloka mereka yang Berbunyi:

Nagari Talu itu seperti kancah
Kendung ditongah-tongah
Dua tuanku pegang perintah
Bagai dusun dibelah sudah.

Dari Kampung Sianok inilah lahir sekumpulan keluarga yang diketuai oleh Hj. Khotib Jabar bersama isteri Siti Mariah yang telah nekad untuk meninggalkan kampong halaman asal mereka untuk berhijrah ke Tanah Melayu. Tindakan ini adalah pengaruh sebahagian besarnya dari saudara mara mereka yang telah pun berhijrah lebih awal lagi ke Kampong Piandang, Perak pada lewat tahun 1880. Antaranya ialah anak kandungnya sendiri, Bahauddin dan Hassan yang sentiasa menanti ketibaan ayahanda mereka.

Khotib Jabar dan isteri telah membawa bersama dua orang anak gadis sunti mereka iaitu Siti Nasifah (panggilan Mondok) berusia 14 tahun dan adik nya bernama Siti Taliman (panggilan Kundur) berusia 12 tahun. Setelah bertemu dengan saudara mara rapat di Kampung Piandang, Siputeh, Hj. Khotib Jabar telah mengenal pasti satu tapak untuk mendirikan sebuah rumah untuk keluarganya. Tinggallah sekeluarga mereka dikampung tersebut dengan aman bahagia.
Tidak lama kemudian anak perempuan sulungnya Siti Nasifah telah dikahwinkan dengan keluarga Talu juga, bernama Sutan Sharif bin Hj. Abdul Rahman bin Shiekh Abdul Majid. Mereka dikurniakan empat orang anak, yang sulung Hj. Abdul Hadad, Sameah, Basariah dan Rajiah. Anak sulungnya Hj. Abdul Hadad telah berumah tangga dengan Hjh. Madinah binti Ahmad Bogol (Ahmad Rashid Talu) bin Hj.Abd.Rashid bin Shiekh Abdul Majid. Abdul Hadad dan isterinya Madinah berpindah ke Jalan Tronoh, Siputeh.

Anak yang ketiga pula Basariah pernah berkahwin seketika dengan Musa bin Ahmad. dan bercerai kerana suami nya terlibat dalam pergerakan komunis Melayu pada tahun 1945.
Anak perempuan kedua iaitu Siti Taliman telah berkahwin dengan Hj. Salleh bin Hj. Abdul Latif bin Hj. Idris iaitu sepupu puak Hj. Abdul Rahman bin Shiekh Abdul Majid. Hj. Salleh ketika itu baru sahaja datang dari Talu setelah kembali belajar dari Makkah. Mereka dikurniakan dua orang putra, yang sulung Tajuddin bin Hj. Salleh (ayahanda penulis) dan Abdul Majid bin Hj. Salleh.

Hj. Salleh bin Hj. Abd.Latif tidak lama tinggal di Kampung Piandang kerana beliau lebih berminat untuk mengajar agama. Atas undangan kerabat-kerabat di Rembau, Negeri Sembilan beliau berangkatlah ke Kampung.Tanjong Keling, Rembau. Sebuah surau telah didirikan untuk memudahkan masyarakat tempatan belajar agama. Beliau telah berkahwin dengan seorang gadis di kampong tersebut bernama Gandariah. Dan dikurniakan empat orang anak iaitu Hendun, Mohd. Nawi, Abd. Rahman, Mohd. Nasir. Beliau berpindah sekali lagi atas undangan ke Endau, Johor untuk menjadi guru agama disana dan berkahwin pula dengan Pn. Nor bt. Arshad. Mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Adnan, Rahaini, Asmah Nane dan Zainun.
Hj.Salleh meninggal pada tahun 1952 di Endau, Johor ketika berusia 70-an, dan anak lelakinya Adnan baru berusia kira-kira sepuluh tahun.

Keluarga dan keturunan Khotib Jabar telah berkembang ke seluruh pelusuk Negara dan di Sumatra khususnya di Kg. Rumbai Nagari Talu melalui anak beliau Tiangkat beribukan Kholijah iaitu isteri pertama Khotib Jabar. Generasi ke lima beliau, Hjh. Ernawati Rajiman pernah di pilih sebagai Wali Nagari Talu yang kini baru sahaja tamat tempoh dan masih menunggu keputusan lantikan semula. Seorang lagi generasi ke empat Khotib Jabar masih berada di Pasar Usang, Desa Merdeka, Talu iaitu Pak Darwis Taniang kini berusia 75 tahun yang masih sihat dan kuat. Isteri beliau bernama Asiah dari Kg. Sianok. Mereka mempunyai lima orang anak yang semuanya telah dewasa.

Kini semua mereka yang mengasaskan Kampong Piandang sudah tiada lagi. Kisah dan cerita sebenarnya juga sukar untuk diketahui, kerena tidak ada siapa lagi yang boleh dirujuk untuk mendapat cerita sebenarnya. Kadang kala terlintas di kepala kita bagaimana mereka dahulu datang beramai-ramai ke Tanah Melayu. Apakah cara pengangkutan semasa meninggalkan kampong halaman mereka di Talu. Bagaimana pula menyeberangi lautan selat Melaka dan dimanakah mereka lazimnya mendarat sesampainya di Tanah Melayu. Cara mana pula mereka meredah sehingga sampai ke Kampong Piandang, Siputeh, Tronoh malah ke Ulu Yam dan lain-lain tempat lagi. Segalanya ini perlu dibongkar bersama jika kita masih berminat untuk mengetahui susah payah nenek moyong kita berhijrah demi untuk merobah penghidupan. Sekarang, lihat sahaja kebun-kebun getah dan sawah bendang yang telah ditinggalkan kepada anak, cucu cicik sehingga dapat pula menikmati hasil dari kebun buah-buahan mereka. Mustahil perkara seumpama ini boleh berlaku jika nenek moyang kita tidak bersunguh-sungguh membanting tulang semasa penghijrahan dahulu.

Bersyukurlah kita pada hari ini dalam banyak hal yang sukar untuk dibayangkan. Kini kita sebagai keturunan mereka, sedang meraih segala kenikmatan hidup. Terpulang lah kepada diri kita sendiri untuk menilai segala nya. Mungkin dengan cara ketawa sahaja, tersenyum sendirian, aah…itu cerita dulu, atau termenung sejenak, atau berkata didalam hati ‘nasib baik nenek moyang aku datang ke sini’.

Apapun, Allahyarham Hj. Khotib Jabar dan isteri Siti Mariah, dan anak-anak mereka maupun semua saudara mara yang seangkatan beliau, termasuklah Ahmad Rashid Talu penulis nobel pertama, Sutan Sharif Hj.Abd.Rahman dan peneroka asal lain Hj. Sulaiman ayahanda Hj. Abdul Hamid Jambang dan ramai lagi semuanya telah ditakdirkan sampai hayat mereka di Kampung Piandang dan Siputeh dalam tahun 40 hingga 50-an dan telah disemadikan dengan penuh hormat di tanah perkuburan pekan Siputeh. Semoga Allah mencucuri rahmatNya keatas mereka.

Al’fatihah …. Amin yarabilalamin.

Pengenalan

”...Baik karena orangtuanya berasal dari Talu (walaupun yang bersangkutan dilahirkan di luar Talu), atau karena "numpang lahir" di Talu (sedangkan orangtua sendiri tidak berasal dari Talu), atau karena mempunyai hubungan emosional dengan orang Talu (isteri, suami, ibu atau ayah, atau salah seorang di antaranya, berasal dari Talu), atau karena dibesarkan atau pernah bermukim dalam suatu kurun waktu tertentu di Ranah Talu....”

Talu adalah satu Nagari di Sumatera Barat dan persekitarannya iaitu Kecamatan (daerah) Talamau, Sinurut dan Kajai. Orang Talu telah lama berada di pelusuk Semenanjung Malaysia. Sejarah keluarga saya sahaja, menunjukkan saya adalah keturunan kelapan dari nenek moyang yang telah merantau dari Nagari Talu ke Tanah Melayu di abad ke lapan belas Masehi lalu. Orang Talu datang ke Semenanjung Malaysia pada masa lepas sebagai mengamalkan tradisi merantau orang Minang. Para perantau ini, sentiasa ingat Nagari asal mereka. Ramai yang pulang dan menetap semula di Talu selepas tamat perantauan. Dalam perkataan lain, hubungan antara orang Talu yang berada di Semenanjung Malaysia dan di Nagari Talu sentiasa rapat.
Akibat perubahan politik Belanda dan Inggeris dan diikuti pula dengan kemerdekaan Indonesia dan Malaysia, hubungan antara Nagari Talu dan Semenanjung Tanah Melayu sudah menjadi hubungan antara dua negara yang berlainan. Namun begitu hubungan orang Talu dengan tanah asal mereka dan keturunan mereka di Talu tetap kekal. Disamping itu, keturunan Talu yang menetap di Malaysia sebagai warga negara yang taat, turut sama berusaha, berbakti dan menyumbang kepada negara ini.

Akibat peredaran masa serta perubahan sosio-politik di Sumatera dan Semenanjung Malaysia, mutakhir ini sudah ramai keturunan Talu tidak lagi mengenali Nagari Talu. Portal ini diharapkan dapat memperkenalkan kepada keturunan Talu yang menetap di Malaysia, akan Nagari Talu, adat resam, kisah tokoh-tokoh dan personaliti orang Talu di Malaysia. Melalui ruang berita portal ini, segala berita, gambar dan maklumat terkini akan dapat disampaikan dengan lebih pantas dan berkesan.

InsyaAllah, portal ini akan menjadi wadah dimana berita antara Nagari Talu, serta antara kita Rang Talu dapat dihebahkan dengan lebih pantas dan cekap. Didoakan siltaurrahum kita akan bertambah erat dengan bantuan portal ini. Oleh itu jika anak-anak kita bertanya dari manakah asal keturunan kita, tidaklah lagi segan dan malu, hendaknya kita menjawab ninik moyang kita datang dari Nagari Talu. Kita juga akan tahu di mana Nagari Talu itu sebenarnya.

Sejarah Kampung Serkai Jadi Tronoh

Asal Nama Kampung Serkai Jadi. Mengikut cerita yang di ceritakan oleh Mamak Suman (Osman bin Muhammad) yang masih tinggal di Kg. Serkai Jadi itu sejak dilahirkan pada tahun 1928. Sebelum orang Talu datang kekampung Serkai Jadi, kampung itu adalah Perkampungan Orang Ash. Apabila orang talu datang kekampung tersebut, Orang Asli terus meninggalkan kawasan tersebut, dan juga sudah menjadi teradisi Orang Ash apabila berlaku kematian didalam suku kaum mereka, mereka akan berpindah ketempat lain. Didalam jangka masa berpindah randah itu banyaklah perkara-perkara anih dan pelik berlaku dan terjadi. Dengan itu timbulnya perkataan SERBA JADI yang mana telah menjadi sebutan sehingga dinamakan tempat itu Kampung Serba Jadi. Walaubagaimanapun entah bagaimana nama itu telah ditukar kepada Kampung Serkai Jadi hingga kehari ini. Orang Talu yang mula-mula menerokai Kampung Serkai Jadi. Mengikut ceritanya ada beberapa orang yang mula-mula sampai dan membuka perkampungan tersebut. Kampung tersebut dikelilingi oleh beberapa buah kampung disekitarnya. Antaranya ialah Kampung ACEH keutara, Kampung Baru sebelah timor yang boleh menghubungkan Kampung Piandang/Seputeh dan terns ke pekan Parit, dan Kampung Ulang Aling disebelah selatan dan Kampung Merbau yang lebih hampir kepekan TRONOH sekarang ini. Mereka mula sampai dan membuka kampung ACEH, Kampung Baru, Kampung Ulang Aling, dan Kampung Merbau itu adalah dalam sekitar tahun 1920. Antara nama-nama yang disebut ialah: i) IBRAHIM ETONG. Yang kemudian di panggil dengan nama Pak Jetong atau Nek Jetong menikut loghat orang Talu dan generasi yang terkemudian ini. ii) Seorang lagi ialah Yaakob Ghumping. Gelaran GHUMPING ialah kerana hujung telinganya cacat dan berlubang . iii) Pak Sajo iv) Mat Lanca. v) Shariff Burung. Gelaran Soghih Bughung adalah kerana hobinya dan pakar memikat burung. vi) Pak Jano vii) Yaakob Songkok. Gelaran Songkok kerana dia pakar membuat songkok. viii) Pak Pia't ix) Pak Bahauddin. Itulah diantara nama-nama yang mula-mula membuka kampung ACEH yang kemudian berpindah lama kelamaan ketempat yang lebih hampir dengan pekan TRONOH. Sebelum wujudnya KG. SERKAI JADI, kampung sekitarnya itulah KG. ACEH, KG.BARU, KG. ULANG ALING dan Kg.MERBAU. Tokoh-tokoh/nama-nama yang terkenal di Kg. Serkai Jadi ialah: i) HJ. MOHD. DAWAM BIN HAM IBRAHIM Hj. Dawam mula sampai ialah di KG. MERBAU . Kemudian baru lah berhirah ke Kg. Serkai Jadi. Oleh itu Hj. Dawam adalah satu nama yang sinonim dengan Kg. Serkai Jadi kerana beliau adalah Ketua Kampung/Tok Sidang Kampung tersebut. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Cik Gu Dawam atau Niek Dowam dalam loghat Talu. Oleh kerana beliau mempunyai ilmu didalam bidang keagamaan, beliau menjadi IMAM dimasjid Tronoh dan kerap memberi ceramah-ceramah agama semasa Perayaan Maulidurrasul, Israk Mikraj, Nisfu Sha'ban dan lain-lian Perayaan dimasjid Tronoh dan surau di Kg. Serkai Jadi.Beliau juga adalah seorang guru mengaji AL Qur'an di Kg. Serkai Jadi.Beliau juga adalah Juru Nikah dan Amil yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Daerah Kinta untuk memungut zakat fitrah disekitar Tronoh dan Kg. Serkai Jadi. Oleh kerana ketokohannya beliau amat rapat dengan pegawai-pegawai kerajaan seperti Penghulu dan Pegawai Daerah Kinta. Pegawai-pegawai tersebut akan berurusan terus dengan Hj. Dawam jika ada masalah dan apa-apa yang berkaitan dengan Kg. Serkai Jadi dan Tronoh. (Ketokohan Hj. Dawam ini adalah disekitar tahun 1950han hingga beliau meninggal dunia dalam tahun 1980han) ii) HJ. ABDUL MANAN BIN HAM HUSSAIN Hj. Abdul Manan mula sampai ialah di Kg. Baru. Beliau juga amat sinonim dengan Kg. Serkai Jadi, kerana beliau adalah merupakan orang kedua selepas Niek Dowam dan lebih dikenali dengan panggilan Pak Megan dalam loghat Talu. Beliau merupakan IMAMdan BILAL di Masjid Tronoh dan surau Kg. Serkai jadi. Beliau juga adalah Guru AL Qur'an dikampung tersebut dan mempunyai ramai anak-anak murid disekitar Kariah kampung tersebut. Hj. Abd. Manan juga adalah Amil yang dilantik untuk memungut zakat fitrah di Kg. Serkai Jadi pada zaman era Hj. Dawam. Beliau dan Niek Dowam pernah belajar dan menuntut ilmu AL Qur'an dengan Tuan SHIEKH ISMAIL DI GOMBAK KUALA LUMPUR. Oleh kerana beliau dianugrahkan oleh Allah Ta'ala suara yang nyaring dan enak membacaa AL Qur'an dan Bazanji, maka beliau akan menjadi pembaca pertama dan pembukaan membaca Bazanji dan Marhaban ketika meraikan kanak-kanak yang baru lahir diupacara yang dipanggil "Turun Mandi' iatiu upacara Cukur Kepala di Kg. Serkai Jadi. Hj. Abdul Manan telah pulang kerahmatullah pada tanggal 16hb. September 1981 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gurab Jalan K.Kangsar Ipoh Perak. iii) HASSAN BIN SUDIN @ PAK HASSAN MISAI. Di Kg.Serkai Jadi kalau ditanya Hassan bin Sudin tidak ada seorang pun yang tahu atau kenal orangnya. Tetapi jika disebut Pak Hassan Misai semua orang kenal dan tahu siapa orangnya. Pak Hassan Misai juga mula sampai di Kampung Merbau Tronoh. Setelah,beliau bertemu jodoh dengan isterinya Puan Saadah bt. Mohammad, barulah mereka berhijrah kampung Serkai Jadi. Puan Saadah adalah adik kepada isteri Mohd Noor Kabul seorang bekas Hakim keturunan orang Talu. Pak Hassan Misai ada keistimewaannya tersendiri. Gelaran Hassan Misai adalah kerana misainya yang panjang dan menggerunkan sesiapa yang belum tahu dan kenal dengannya. Secara peribadi beliau mempunyai watak lucu dan kelakar orangnya. Beliau boleh mengubati penyakit-penyakit secara Tradisional. Salah satu keunikkan beliau, tidak memakai kasut walau kemana pun dia pergi dan tidak pernah dan tidak pandai menunggang basikal. Ini adalah kerana beliau ada mempunyai keistimewaan tersendiri iaitu STAMINA yang banyak dan 'ilmu kebatinan' yang ada padanya. Demikianlah sedikit catatan yang dapat dilakarkan disini mengenai sedikit sejarah dan individu orang-orang Talu dari Kg. Serkai Jadi Tronoh Perak pada zaman era 1050han hingga 1980han. Catatan oleh : HJ. AHMAD SHAYUTI BIN HJ. ABD. MANAN- Anak jati kelahiran Kg. Serkai Jadi Tronoh yang lahir pada 4.4.1946. Di buat pada 1hb. Sept. 2007.