Sunday, October 26, 2008

DARI SIANOK KE KAMPONG PIANDANG

Sianok adalah sabuah kampong tertua terletak dalam Nagari Sinurut di Sumatra Barat. Lokasinya berhampiran dengan pekan Talu yang sering juga disebut sebagai Pasar Usang Talu. Nagari Sinurut adalah bersempadan dengan Nagari Talu. Masyarakatnya atau penduduk kedua-dua buah nagari ini terdiri daripada kaum orang Talu yang mengamalkan budaya dan bahasa yang sama serta mempunyai hubungan kekeluargaan yang rapat antara satu sama yang lain. Setiap nagari ini mempunyai pemerintahan adat dibawah Tuanku (Raja) masing-masing. Di Nagari Sinurut pemerintahan adatnya adalah dibawah Tuanku Nan Sati dan di Nagari Talu pula dibawah Tuanku Bosa Talu. Kedua-dua Tuanku ini mewarisi keturunan kerabat dari Istana Pagar Ruyung, Batu Sangkar, Sumatra Barat. Satu lagi rumpun kerabat ialah di Istana Sri Menanti, Negeri Sembilan. Beberapa buah nagari lagi juga mempunyai pertalian kerabat di nagari-nagari Sumatra Barat. Bagaimanapun, rakyat bagi kedua-dua buah nagari ini tetap memegang amalan budaya dan bahasa yang sama serta sentiasa tinggal dalam suasana rukun aman dan damai. Kesepakatan penduduk orang Talu tergambar dalam seloka mereka yang Berbunyi:

Nagari Talu itu seperti kancah
Kendung ditongah-tongah
Dua tuanku pegang perintah
Bagai dusun dibelah sudah.

Dari Kampung Sianok inilah lahir sekumpulan keluarga yang diketuai oleh Hj. Khotib Jabar bersama isteri Siti Mariah yang telah nekad untuk meninggalkan kampong halaman asal mereka untuk berhijrah ke Tanah Melayu. Tindakan ini adalah pengaruh sebahagian besarnya dari saudara mara mereka yang telah pun berhijrah lebih awal lagi ke Kampong Piandang, Perak pada lewat tahun 1880. Antaranya ialah anak kandungnya sendiri, Bahauddin dan Hassan yang sentiasa menanti ketibaan ayahanda mereka.

Khotib Jabar dan isteri telah membawa bersama dua orang anak gadis sunti mereka iaitu Siti Nasifah (panggilan Mondok) berusia 14 tahun dan adik nya bernama Siti Taliman (panggilan Kundur) berusia 12 tahun. Setelah bertemu dengan saudara mara rapat di Kampung Piandang, Siputeh, Hj. Khotib Jabar telah mengenal pasti satu tapak untuk mendirikan sebuah rumah untuk keluarganya. Tinggallah sekeluarga mereka dikampung tersebut dengan aman bahagia.
Tidak lama kemudian anak perempuan sulungnya Siti Nasifah telah dikahwinkan dengan keluarga Talu juga, bernama Sutan Sharif bin Hj. Abdul Rahman bin Shiekh Abdul Majid. Mereka dikurniakan empat orang anak, yang sulung Hj. Abdul Hadad, Sameah, Basariah dan Rajiah. Anak sulungnya Hj. Abdul Hadad telah berumah tangga dengan Hjh. Madinah binti Ahmad Bogol (Ahmad Rashid Talu) bin Hj.Abd.Rashid bin Shiekh Abdul Majid. Abdul Hadad dan isterinya Madinah berpindah ke Jalan Tronoh, Siputeh.

Anak yang ketiga pula Basariah pernah berkahwin seketika dengan Musa bin Ahmad. dan bercerai kerana suami nya terlibat dalam pergerakan komunis Melayu pada tahun 1945.
Anak perempuan kedua iaitu Siti Taliman telah berkahwin dengan Hj. Salleh bin Hj. Abdul Latif bin Hj. Idris iaitu sepupu puak Hj. Abdul Rahman bin Shiekh Abdul Majid. Hj. Salleh ketika itu baru sahaja datang dari Talu setelah kembali belajar dari Makkah. Mereka dikurniakan dua orang putra, yang sulung Tajuddin bin Hj. Salleh (ayahanda penulis) dan Abdul Majid bin Hj. Salleh.

Hj. Salleh bin Hj. Abd.Latif tidak lama tinggal di Kampung Piandang kerana beliau lebih berminat untuk mengajar agama. Atas undangan kerabat-kerabat di Rembau, Negeri Sembilan beliau berangkatlah ke Kampung.Tanjong Keling, Rembau. Sebuah surau telah didirikan untuk memudahkan masyarakat tempatan belajar agama. Beliau telah berkahwin dengan seorang gadis di kampong tersebut bernama Gandariah. Dan dikurniakan empat orang anak iaitu Hendun, Mohd. Nawi, Abd. Rahman, Mohd. Nasir. Beliau berpindah sekali lagi atas undangan ke Endau, Johor untuk menjadi guru agama disana dan berkahwin pula dengan Pn. Nor bt. Arshad. Mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Adnan, Rahaini, Asmah Nane dan Zainun.
Hj.Salleh meninggal pada tahun 1952 di Endau, Johor ketika berusia 70-an, dan anak lelakinya Adnan baru berusia kira-kira sepuluh tahun.

Keluarga dan keturunan Khotib Jabar telah berkembang ke seluruh pelusuk Negara dan di Sumatra khususnya di Kg. Rumbai Nagari Talu melalui anak beliau Tiangkat beribukan Kholijah iaitu isteri pertama Khotib Jabar. Generasi ke lima beliau, Hjh. Ernawati Rajiman pernah di pilih sebagai Wali Nagari Talu yang kini baru sahaja tamat tempoh dan masih menunggu keputusan lantikan semula. Seorang lagi generasi ke empat Khotib Jabar masih berada di Pasar Usang, Desa Merdeka, Talu iaitu Pak Darwis Taniang kini berusia 75 tahun yang masih sihat dan kuat. Isteri beliau bernama Asiah dari Kg. Sianok. Mereka mempunyai lima orang anak yang semuanya telah dewasa.

Kini semua mereka yang mengasaskan Kampong Piandang sudah tiada lagi. Kisah dan cerita sebenarnya juga sukar untuk diketahui, kerena tidak ada siapa lagi yang boleh dirujuk untuk mendapat cerita sebenarnya. Kadang kala terlintas di kepala kita bagaimana mereka dahulu datang beramai-ramai ke Tanah Melayu. Apakah cara pengangkutan semasa meninggalkan kampong halaman mereka di Talu. Bagaimana pula menyeberangi lautan selat Melaka dan dimanakah mereka lazimnya mendarat sesampainya di Tanah Melayu. Cara mana pula mereka meredah sehingga sampai ke Kampong Piandang, Siputeh, Tronoh malah ke Ulu Yam dan lain-lain tempat lagi. Segalanya ini perlu dibongkar bersama jika kita masih berminat untuk mengetahui susah payah nenek moyong kita berhijrah demi untuk merobah penghidupan. Sekarang, lihat sahaja kebun-kebun getah dan sawah bendang yang telah ditinggalkan kepada anak, cucu cicik sehingga dapat pula menikmati hasil dari kebun buah-buahan mereka. Mustahil perkara seumpama ini boleh berlaku jika nenek moyang kita tidak bersunguh-sungguh membanting tulang semasa penghijrahan dahulu.

Bersyukurlah kita pada hari ini dalam banyak hal yang sukar untuk dibayangkan. Kini kita sebagai keturunan mereka, sedang meraih segala kenikmatan hidup. Terpulang lah kepada diri kita sendiri untuk menilai segala nya. Mungkin dengan cara ketawa sahaja, tersenyum sendirian, aah…itu cerita dulu, atau termenung sejenak, atau berkata didalam hati ‘nasib baik nenek moyang aku datang ke sini’.

Apapun, Allahyarham Hj. Khotib Jabar dan isteri Siti Mariah, dan anak-anak mereka maupun semua saudara mara yang seangkatan beliau, termasuklah Ahmad Rashid Talu penulis nobel pertama, Sutan Sharif Hj.Abd.Rahman dan peneroka asal lain Hj. Sulaiman ayahanda Hj. Abdul Hamid Jambang dan ramai lagi semuanya telah ditakdirkan sampai hayat mereka di Kampung Piandang dan Siputeh dalam tahun 40 hingga 50-an dan telah disemadikan dengan penuh hormat di tanah perkuburan pekan Siputeh. Semoga Allah mencucuri rahmatNya keatas mereka.

Al’fatihah …. Amin yarabilalamin.

No comments: